Sunday, October 10, 2010

Jauh dari Segalanya

Aku cuba memegang teropong tanpa banyak bergerak. Jauh tetapi jelas, seekor burung besar sedang bertenggek di dahan mati. Dia berada rendah sedikit dari pohon yang tertinggi di atas sebuah banjaran bukit di belakang rumah. Sambil dia melihat ke kiri dan kanan, aku dapat merasakan keadaan yang luar biasa. Kerana kini sudah tepat pada masanya, iaitu 9:00 pagi, cuaca mula terik. Burung itu tidak akan lama bertenggek. Dia dapat merasakan gelombang udara panas yang sedang naik ke langit dan kepalanya menyondong sedikit ke hadapan.. dan dia melompat dan terbang sambil mengibarkan sayap dengan kuat.

Spesies tidak dipasti, mungkin Lang Lebah yang sedang berehat dalam penghijrahan. Kinrara

Friday, October 8, 2010

Keajaiban Sepanjang Zaman



Lang Lebah/Honey Buzzard berlegar naik ke langit mengikut angin panas. Kinrara 05/10/10, 9:00pg.

MENJELANG hujung tahun, musim dingin di hemisfera utara akan mendorong beberapa spesies burung untuk mencari keselesaan cuaca yang lebih panas. Mereka akan meninggalkan kediaman asal dalam bulan September dan berhijrah ke arah selatan di mana makanan lebih mudah didapati. Walaupun makhluk bersayap ini tidak mempunyai otak yang boleh dikira besar, tak hampir pun sebesar biji benih, tetapi naluri mereka yang dikuasai sayap menunjukkan mereka arah tuju. Sudah beribu tahun lamanya burung penghijrah akan merantau jauh merentas bumi dan laut, dan amalan ini masih dituruti oleh keturunan mereka setiap tahun. Semasa di destinasi hijrah, mereka akan berehat dari pembiakan sehinggalah mereka pulang semula ke utara di akhir musim dingin pada bulan Mac tahun berikutnya.

Musim burung berhijrah ialah masanya melihat populasi burung bertambah dan spesies yang beraneka jenis. Ada yang datang bercuti dan ada yang hanya singgah berehat sebelum menyambung perjalanan jauh ke selatan hemisfera, termasuk Sumatra dan Australia.

Minggu ini, aku dapat melihat beberapa burung penghijrah dengan mudah di taman dan kawasan persekitaran rumah. Di sebuah pohon rimbun, aku melihat kilaun seekor burung kecil. Ia sedang bergerak di ranting memburu serangga di bahagian tengah pohon. Sebelum sempat menghampirinya, dia sudah naik ke atas pohon. Namun, melalui teropong aku dapat mengecam bulunya berwarna zaitun dengan jalur kabur merentas kepak. Di bawah badannya putih krim dan paling ketara ialah kening mata kuning muda. Aku kenal burung ini dari dalam buku sebelum aku dapat melihatnya kali pertama dahulu, kerana ia seekor penghijrah yang menakjubkan. Burung Cekup Artik/Arctic Warbler (gambar kiri atas) ini berasal dari tempat yang jauh dan ekstrem - di kutub utara - dan membiak dengan banyak di Eropah, Siberia dan Alaska hingga ke sempadan pohon kawasan Artik. Ia berhijrah melalui hutan-hutan di tanah rendah. Ya, dari hujung dunia dan kecil sahaja (11sm), tetapi siapa sangka sanggup terbang begitu jauh!

Penghijrah yang tiba awal dan dapat dilihat berkeliaran ialah Tirjup Tanah/Brown Shrike (gambar kiri tengah). Tirjup ini banyak membiak di benua timur tengah dan merupakan penghijrah yang lazim di rantau ini. Pada suatu awal pagi, seekor telah hinggap di kawasan terbuka di hadapan rumahku. Ia tidak takut pada penempatan manusia, dan bertenggek dengan sabar di tenggeran yang rendah. Aku fikir mungkin dia baru tiba di Malaysia dan ingin memilih tempatnya di sini, sambil memerhati mangsa di tanah, biasanya serangga besar atau haiwan kecil. Namun, tidak lama kemudian, seekor Murai Kampung/Magpie Robin yang biasa tinggal di sini datang dan mengusir Tirjup tadi.

Kemudian di kawasan yang lebih banyak tumbuhan, seekor burung Sambar Perang Asia/Asian Brown Flycatcher (gambar kiri bawah) memburu serangga di sebuah pokok besar bersama beberapa spesies burung tempatan lain seperti Sewah Kapas/Pied Triller dan Mata Putih Timur/Oriental Whiteeyes. Ia bertenggek dalam diam di pertengahan kanopi pohon dan kemudian terbang dengan tangkas menyambar serangga di udara. Selepas itu, ia kembali ke ranting yang sama dan menunggu mangsa lagi. Ia mengulangi tabiat ini beberapa kali sebelum bertukar tempat tenggek yang lebih srategik. Seekor penghijrah yang awal, Sambar Perang ini membiak di Asia Tengah dan paling hampir di utara Thailand. Ia menggemari beberapa jenis habitat dari taman ke hutan dan pinggiran hutan gunung.

Seekor penghijrah yang aku tidak sangka dapat lihat di kawasan rumah ialah burung pemangsa dari Asia timur dan utara. Jam 9:00 pagi, apabila matahari mula terik, aku ternampak bayang-bayang burung pemangsa berlegar di udara, mengikut angin panas naik ke langit. Mereka tiga ekor, dengan bulu yang agak lasak, tetapi bila semakin hampir, aku dapat mengecam corak di bawah sayap dan badan mereka. Lehernya panjang seakan kepala merpati. Ini ialah Lang Lebah Berjambu/Crested Honey Buzzard (gambar teratas) yang sedang dalam perjalanan ke hutan tebal di Sumatra. Tanpa banyak megepakkan sayap, tiga ekor pemangsa itu terus berlegar mendaki langit tinggi, dan ketika mereka terbang ke arahku dan melepasi matahari di belakangku, sinar suria memancar ke arah burung dan menyerlahkan corak di badan dan bulu burung.

Pemangsa berhijrah ini akan meningkat jumlah burung sehingga puluhan ribu ekor dan kebanyakan mereka akan merentas Selat Melaka di kawasan Tanjung Tuan, kerana itu adalah jarak terdekat antara tanah semenanjung dan Sumatra. Namanya Lang Lebah kerana kegemarannya menyerang sarang lebah untuk memakan larva atau anak lebah, dan oleh itu telah dicipta tuhan dengan sisik di muka dan kaki sebagai perisai.

Sayap Liar

"Dan kau tidak sama sekali dicipta sepertiku, dengan sayap di atas angin untuk terbang."

Lang Hitam Asia, Hutan gunung, Genting 21/09/10, 9:30pg.